Monday, January 17, 2011

Diari harian (17 Jan 2011)

situasi
Peristiwa ini berlaku pada suatu pagi yang sangat sejuk ditambah dengan pendingin hawa yang dipasang agak kuat rasanya. Semua pelajar dalam kelas tersebut kelihatan kedinginan. Kadang-kadang hilang fokus buat seketika kerana suasana tersebut agak menganggu emosi. Namun, selang seketika, sebilangan pelajar dalam kelas itu senyum tersipu-sipu. Ada kelucuan yang menggamit senyum kami. Kami berasa perkara itu lucu kerana kami mengetahui akan hal yang sebenar. Bagi membuktikan yang sesebuah karya itu agung, seorang pensyarah membacakan sebuah pantun empat rangkap yang berbunyi;

yang kurik itu kendi,
  Yang merah itu saga;
  Yang baik itu budi,
  Yang indah itu bahasa.



Penerangan :
Masyarakat pada hari ini sering mengguanakan peribahasa, pantun, perumpamaan atau ringkasnya puisi dengan tidak begitu sempurna. Antara kesilapan yang dilakukan ialah kesilapan bahasa. Banyak perkataan telah bertukar. Mungkin berlaku salah faham kerana kebanyakan puisi pada zaman dahulu disampaikan secara lisan. Jadi kemungkinan berlaku masalah salah dengar dan salah tafsir maksud perkataan yang digunakan. Biasanya perkataan yang digunakan dalam pantun mempunyai bunyi yang seiras untuk menepati sifatnya iaitu mempunyai rima a,b,a,b. kata-kata yang dipilih pula biasanya berkaitan dengan alam hal ini sesuai dengan masyarakat terdahlu yang sangat berkait rapat dengan alam kerana mereka banyak bergantung hidup dengan persekitaran semula jadi. Pantun di atas merupakan pantun turun temurun dari dahulu lagi. Jelas disini, pantun ini dicipta oleh orang dulu-dulu dan agak tidak sesuai andainya perkataan ‘kendi’ digunakan. Malah, setelah diselidiki dengan membaca buku-buku pantun, dan mendapat penerangan daripada seseorang yang begitu arif tentang puisi-puisi melayu, memang sah perkataan ‘kendi’ tidak digunakan dalam pantun tersebut. Sebetulnya ialah:

yang kurik itu kundi,
  Yang merah itu saga;
  Yang baik itu budi,
  Yang indah itu bahasa.

Perkataan ‘kendi’ sepatutnya ‘kundi’. Perkataan tersebut ternyata lebih sesuai dari segi bunyi dan maksudnya. Masyarakat melayu amat mementingkan keindahan dalam berpuisi dan tidak memisahkan hubungan manusia dengan alam.

Komen:
Pada pendapat saya, kita memang digalakkan untuk menggunakan puisi dalam berbahasa. Perkara ini amat dituntut bagi memastikan kelestariannya. Namun, kita perlu berhati-hati apabila menggunakannya terutama ketika memberi penerangan ilmiah kerana kuatir berlaku salah faham. Saya sendiri juga menjadi keliru apabila mendengar pantun itu. Namun, setelah bertanya kepada yang pakar, akhirnya saya percaya yang pantun itu memang salah. Justeru, masyarakat perlu menggunakan pantun yang sebetulnya supaya dapat mengelakkan pencemaran bahasa melayu berlaku lebih-lebih lagi pantun yang agung ini. 

No comments:

Post a Comment