Saturday, February 19, 2011

Oopss........ maaf

Situasi:

Pada suatu petang, saya keluar berjalan-jalan di pasar malam untuk membeli makanan sambil melihat keadaan sekeliling untuk menghiburkan hati. Dalam kesesakan tersebut, seorang kakak yang agak gempal tubuhnya terpijak kaki saya ketika dia ingin berundur ke belakang. Agak sakit terasa. Dengan pantas, dia terus memohon maaf atas kesilapannya. Saya pula terus memaafkannya.

Dialog:

Kakak: (Berundur ke belakang, lalu terpijak kaki saya) Ops.
Saya: Aduh! Sakitnya.
Kakak: Maaf dik, akak tak nampak. Maaf ye. Sakit ke?
Saya: Tak pe, tak pe. Sikit je. Biasalah ramai orang kan.
Kakak: Betul ni tak de pape? Maaf ye
Saya: Saya ok kak. Saya maafkan
Kakak: Terima kasih.
Saya: Sama-sama.

Hal ini berbeza pula apabila berlaku di rumah. Dialog antara adik dengan saya.
Kelihatan adik-adik riuh bermain di halaman rumah. Mereka berkejaran sesama sendiri ditambah dengan kehadiran kawan-kawan mereka. Bertambah riuhlah suasana pada petang itu. Ketika saya sedang khusyuk mengangkat baju daripada ampaian, tiba-tiba…
Ada satu lembaga yang melanggar dari belakang sehinggakan saya jatuh ke tanah. Setelah menoleh, rupa-rupanya adik yang sedang bermain-main tadi terlanggar saya.
Saya: Buta ke?

Adik: Tak sempat nak brek.
Saya: Ooo. Lawak ye? Sakit tau. (dengan muka yang kemarahan)
Adik: Maaf la, aku memang tak sempat nak brek. Kan kalau aku brek, si Faiz tu tangkap aku.
Saya: Habis, semua orang kene langgar la?
Adik: Tak. Tadi tak sengaja. Maaf ye kak.
Saya: Ah, tak de maaf-maaf! (dengan nada yang agak kuat)
Adik: (Terus menangis kerana diperlakukan sebegitu)

Penerangan:

Situasi di atas hampir sama, yang membezakan ialah orang yang melakukan kesilapan. Kenapa kita sukar memaafkan orang yang kita kenal dan sayang? Itu merupakan persoalan yang sukar dijawab. Mungkin, ada sebab-sebab psikologi yang tertentu. Sebenarnya jika dibandingkan, kesakitan yang dialami di pasar malam lebih teruk berbanding dengan ketika di halaman rumah. Sehinggakan kaki menjadi merah. Sedangkan, semasa di halaman rumah, hanya jatuh biasa yang tidak meninggalkan sebarang tanda sakit. Sakit sedikit pada masa itu sahaja. Sepatutnya, sebagai seorang kakak, saya perlu menunjukkan contoh yang baik iaitu bersikap memaafkan orang lain. saya sepatutnya berlaku adil dan tidak menggunakan nada suara yang tinggi seperti yang telah berlaku. Memaafkan dan menasihati adik agar tidak mengulangi kesilapan adalah tindakan yang sepatutnya dilakukan ketika itu. Namun, saya belajar daripada kesilapan. Diharap, kejadian tersebut dapat menjadikan saya lebih baik pada masa hadapan. 

langsat, Oh langsat.

Situasi:

Semasa cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, saya dan ahli keluarga mengunjungi sanak-saudara yang berada di sekitar Selangor. Oleh kerana kami bukan berasal daripada Selangor, dan tidak biasa dengan jalan raya yang banyak simpang dan sesak, maka kami telah sesat. Dalam suasana yang bergelumang dengan seribu perasaan, kakak saya mengambil keputusan untuk menelefon kawannya yang berada di Selangor untuk menanyakan jalan yang sepatutnya kami lalu. Semasa dia berbicara dengan kawannya itu, saya melihat riak wajahnya berubah, dia seolah-olah terasa terhina, malu dan marah. Dia terus menjadi marah-marah dan sekali gus memeningkan lagi kepala kami yang sudah kusut. Sebenarnya kami telah tersesat jauh dan sebab itulah menurut kakak, kawannya terus gelak dan mengutuknya. Dialognya lebih kurang begini:

Kak Zai: hahahahaha. Ape la ko ni, boleh sesat. Jauh pulak tu. Kan setiap jalan ada papan tanda, tak reti baca ke?

Inilah ayat yang mengundang kemarahan kakak saya ditambah dengan cuaca panas terik.

Penjelasan:

Pada pendapat saya, tindakan kawan kakak sangat tidak wajar. Dia seharusnya menenangkan orang yang dalam kesusahan dan bukannya menambahkan lagi kesulitan. Perasaaan marah itu tadi boleh mengundang bahaya kerana perasaan pemandu sudah terganggu. Dia berkemungkinan tidak fokus terhadap pemanduannya kerana memikirkan hal tetsebut. Walaupun kedenganran biasa, tetapi hal tersebut membuatkan seseorang berasa tercabar kerana berasakan diri diperlekehkan. Memang logik andainya tersesat di tempat yang tidak pernah dikunjungi. Sepatutnya kita perlu faham dan berusaha bertindak sewajarnya mengikut situasi. Jangan bertindak mengikut sesuka hati sehinggakan mendatangkan kesan buruk terhadap orang lain. Seandainya terlanjur dalam kata-kata, perlulah cepat-cepat meminta maaf supaya dapat meredakan keadaan. Hal ini kerana tiada sesiapa di dunia ini adalah sempurna.   

Jemput makan.

Situasi:

Dalam kepenatan bersiar-siar di Bandar Kuala Lumpur, saya dan keluarga singgah di sebuah kedai makan bagi mengisi perut kami yang mula berkeroncong. Pada masa itu, kami memesan beberapa jenis air minuman dan makanan panas. Semasa kami menunggu makanan tersebut, saya terlihat dua orang pelanggan yang kelihatan kurang senang. Tiba-tiba dia memanggil pekerja restoran tersebut dan meminta agar membawa makanan yang dipesannya secepat mungkin. Selang lebih kurang lima minit, pelanggan tadi bangun lalu memanggil pekerja yang bekerja di situ. Dia terus marah dan mengutuk pekerja tersebut.

Pelanggan: (Dengan suara yang agak keras sambil menuding jarinya kearah seorang pekerja) Weh, ko datang sini jap. Ko tau tak aku tengah lapar ni, tak reti-reti ke  nak masak cepat sikit!
Pekerja: Maaf encik, tolong tunggu sekejap lagi. Hari ini pelanggan agak ramai jadi lambat  sikit. Maaf, makanan encik hampir siap.
Pelanggan: Cakap je lebih, kerja tak buat. Sudah lah. Pergi kedai lain lagi bagus! Jom, kita pergi dari sini.

Kedua-dua pelanggan tersebut terus meninggalkan restoran itu manakala pekerja tersebut menangis lalu terus masuk ke dalam. Kami sekeluarga agak terkejut dengan insiden berkenaan.

Keterangan:

Kejadian sebegini berlaku akibat daripada sikap tidak sabar dalam diri. Sebagi pelanggan, kita tidak seharusnya pentingkan diri sendiri. Sebaliknya perlulah menilai semua aspek. Pada hari tersebut kelihatan ramai pelanggan dan hal ini tentu akan menyukarkan tukang masak untuk memenuhi semua kehendak pelanggan untuk memasak makanan dengan cepat. Sebagai manusia yang waras, sepatutnya kita bersabar dan perlu bijak mengurus kehendak kita. Seandainya kita ingin cepat, janganlah pergi ke restoran yang ramai orang kerana sudah tentu pesanan kita akan lambat sampai. Perkara ini akan mencemarkan imej masyarakat kita andainya pada masa tersebut terdapat pelancong asing. Mereka akan beranggapan negatif mengenai orang kita. Jadi, penggunaan bahasa yang kasar perlu dielakkan sebaliknya perlulah mengamalkan kesantunan dalam berbahasa supaya kehidupan kita lebih aman.