Monday, March 14, 2011

Bili jangan tak bili.

Suasana di pasar:

Suasana di pasar amat unik dengan aroma baunya yang menusuk sehinggakan melekat dibaju, campuran rojak bahasa yang pelbagai, tinggi rendah nada bagai persembahan koir yang harmoni ditambah dengan prinsip dan amalan yang menjadikannya sentiasa perlu untuk dikunjungi. Dalam suasana tersebut, banyak ragam bahasa yang digunakan. Antaranya;
Saya namakan seorang penjual sayur sebagai Andy Lau dan seorang pembeli dengan nama Awie. Seorang warga asing yang telah lama tinggal di Malaysia, Dian Sastro.

Andy Lau          : A, mali-mali. Singgah lulu bang, tengok ini sayur baik punya ma. Mali-mali.
Awie                 : Bole la tauke, mau tengok lulu.
Andy Lau          : Amancam, mana mau angkat? Ni banyak sega o. lugi lu a, kalau tak bili.
Awie                 : Ok tauke, aku mau bili yang sega ni. Belapa linggit?
Andy Lau          : Abang punya pasal, saya bagi lua linggit saja.
Awie                 : Ok.
Dian Sastro     : Hai, apa khabar sih? Lama enggak ketemu. Makin ganteng.
Awie                 : Hai, lu Dian, aku baik-baik aja kok. Kamu ni bodek-bodek maunya apa?
Dian Sastro     : Enggak kenapa-napa. Lu tu yang makin ganteng, aku bilang aja.
Awie                 : Ada-ada aja lu ni.

Penerangan:
Masyarakat Melayu terkenal dengan sikap bertolak ansur dalam pelbagai hal. Melihat contoh di atas, jelas menunjukkan masyarakat kita memang terlalu menghormati orang lain sehingga identiti sendiri menjadi tidak kukuh. Sebenarnya, orang cina dan Indonesia faham akan bahasa Melayu, mereka berbicara demikian kerana mereka tidak boleh berbahasa Melayu dengan betul. Jadi kita sebagai orang Melayu sendiri yang boleh berbicara dengan baik perlu mengekalakan keadaan kita. Kenapa kita perlu mengikuti orang lain? Perlu ke kita menjadi pelat semata-mata untuk menjaga hubungan dengan orang lain? Semua itu tidak perlu kerana hal ini akan menghakis sifat cinta akan bahasa kita sendiri. Gunalah bahasa yang betul dalam berbicara dan sepatutnya kita mengajar mereka supaya berbahasa dengan baik dan bukannya mengikut mereka yang sememangnya salah dari segi sebutan. 

Friday, March 11, 2011

Air batu campur

Di mana-mana
Biasanya, walau pergi kemana-mana, wajib akan kedengaran orang berbicara menggunakan bahasa rojak termasuk diri sendiri. Tujuan sebenar ialah untuk memudahkan komunikasi dengan meringkaskan sesuatu ayat agar lebih banyak perkara dapat dikongsi. Namun, tabiat ini benar-benar mencemarkan bahasa.

Contoh :  “It’s ok if you tak dapat terima semua ini, I understand.”

Sepatutnya, gunalah bahasa dengan betul. Jika mahu bertutur dalam bahasa inggeris, pastikan keseluruhan ayat tersabut menggunakan perkataan inggeris dan begitulah sebaliknya jika ingin menggunakan bahasa Melayu. 

Sama tetapi tidak serupa

J: “Jom kita pergi.”
L: “ala, segan la”
J: “segan apanya, saya kan ada.” (sambil menarik tangan kawannya)
L: Berlalu mengikut kawannya dengan muka yang masam.

Sebenarnya, kawan yang berkata ‘segan’ itu bermaksud malas bagi orang Utara. Namun, yang seorang lagi beranggapan bahawa kawannya ‘segan’ kerana malu. Jadi, kawan yang malas untuk mengikuti kawannya terpaksa pergi juga dengan terpaksa kerana dia berasa yang dia telah dipaksa. Seterusnya timbul salah faham, kawan yang diajak tadi terasa terbeban kerena dipaksa walaupun dia tidak menyukainya. Gunakan bahasa yang boleh difahami oleh orang yang betutur dengan kita. 

Syhhhhh.....

Dalam majlis ilmu.

Baru-baru ini, diadakan satu majlis ilmu di kolej kediaman. Semasa hari tersebut, saya berada agak belakang kerana datang lambat. Di situ, terdapat beberapa orang duduk berkumpul dan bercakap dengan nada yang agak tinggi hingga mengganggu tumpuan terhadap orang yang bersyarah di hadapan kerana suara mereka sama kuat dengan suara yang di depan.

Mereka sepatutnya menghormati majlis ilmu dengan bertutut menggunakan nada yang rendah. Majlis tersebut adalah tidak sesuai untuk melakukan perbincangan atau untuk bersembang perkara yang tidak berfaedah.


Thursday, March 10, 2011

Nama saya Fatimah

Di kawasan kampung

Perbualan ini sering didengar terutama oleh masyarakat kampung yang suka melepak dan melakukan aktiviti tidak berfaedah.

“lembu, mari sini kejap”
“bodoh, kau dengar ke tak?”
“oi, nak ke mana tu?”

Kesalahannya ialah menggunakan nama penggilan yang tidak baik terhadap orang lain. sepatutnya, kita disarankan agar menggunakan nama gelaran yang betul. Setiap orang diberi nama yang elok dari segi bunyi dan maksudnya, tetapi masih ada orang yang tergamak memanggil seseorang dengan nama yang tidak senonoh. Dalam Islam sendiri, kita digalakkan untuk memanggil seseorang dengan nama sebenar yang mempunyai maksud yang baik kerana setiap kali kita menyebutnya, kita telah berdoa kepada orang yang kita panggil itu.

“Ahmad, mari sini kejap”
“Ramli, kau dengar ke tak?”
“Fatimah, nak ke mana tu?”

Contoh dialog ini lebih menyenangkan kerana bunyinya lebih baik. Keadaan ini akan menyenangkan semua pihak sama ada orang yang memanggil, orang yang dipanggil mahupun orang di sekeliling. Panggilan nama yang baik juga dapat mengeratkan hubungan antara manusia. 

Wangi




Ketika di dalam lif.

Ketika berada di dalam lif, datang sekumpulan PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) masuk ke dalam lif. Rasanya mereka baru sahaja melakukan latihan kawat kaki kerana mereka memakai pakaian seragam dan kelihatan letih dan berpeluh. Salah seorang dalam lif menyebut, “busuknya, bau apa ni?”. Mereka yang berpakaian seragam itu, berpandangan sesama mereka. Setelah keluar daripada lif, mereka memohon maaf kerana telah menggunggu kami yang berada di dalam lif tersebut.

Kesalahannya ialah meluahkan perasaan secara terus. Dia tidak sepatutnya berkata sedemikian dan andainya ingin luahkan juga perasaan itu, luahlah semasa mereka tiada. Memahami keadaan orang lain adalah lebih penting daripada mengikut kehendak hati yang membabi buta.

Redah je?

Suasana di kolej kediaman

Ketika sadang makan di ruang meja makan, tiba-tiba ada seorang pelajar masuk ke dalam rumah lalu mengetuk pintu bilik nombor satu. Dia ketuk berkali-kali namun, tiada siapa yang membuka pintu tersebut.
Saya: Cari siapa dik oi?
Dia   : Tika ada?
Saya: Ooo. Tika tiada, dia belum balik.
Dia   : Oh, ye ke.

Selepas itu, dia terus keluar.

Situasi di atas menunjukkan ketidaksopanan yang ada pada diri seseorang. Tindakannya menerjah masuk ke rumah orang tanpa mengetuk pintu dan salam bakal mengundang masalah. Antaranya ialah, orang akan bersangka buruk tentang keperibadiannya, andai berlaku kehilangan atau kecurian dalam rumah yang dimasukinya berkemungkinan dia akan menjadi suspek utama kerana cara dia masuk memang macam pencuri. Kita telah diajar mengenai adab-adab bertandang ke rumah orang sejak daripada bangku sekolah lagi. Jadi, kita seharusnya tahu cara mengamalkan ilmu tersebut kerana pada pendapat saya, kesalahan tersebut berlaku bukan kerana pelajar tersebut tidak mempunyai ilmu tetapi dia tidak tahu mengamalkannya.